GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Ottawa: Kanada mengesan kes pertama varian Covid-19 Omicron berpunca daripada dua orang yang melakukan perjalanan ke Nigeria, baru-baru ini.

Kedua-dua pesakit itu berada dalam pengasingan sementara pihak berkuasa kesihatan awam mengesan kontak rapat mereka, kata pegawai wilayah persekutuan dan Ontario, lapor AFP.

Pihak berkuasa mengesahkan dua kes berkenaan dilaporkan di Ottawa.

"Saya dimaklumkan hari ini oleh Agensi Kesihatan Awam Kanada bahawa ujian dan pemantauan kes Covid-19 mengesahkan dua kes varian Omicron yang membimbangkan di Ontario.

"Memandangkan pemantauan dan ujian berterusan, dijangkakan bahawa kes lain varian ini akan ditemukan," kata Menteri Kesihatan Jean-Yves Duclos dalam satu kenyataan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Omicron sebagai varian yang membimbangkan (VOC) dan negara-negara di seluruh dunia kini mengehadkan perjalanan dari Afrika Selatan dan mengambil langkah berjaga-jaga baharu yang lain.

Badan kesihatan itu berkata, ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk mengetahui sama ada terdapat perubahan ketara dalam kebolehjangkitan atau implikasi terhadap vaksin, ujian dan rawatan Covid-19.

Jumaat lalu, Kanada melarang perjalanan dari tujuh negara Afrika kerana kebimbangan mengenai penyebaran varian Omicron namun ia tidak termasuk Nigeria.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 9:55 AM