GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Honolulu: Gara-gara pihak berkuasa tersilap identiti penjenayah, seorang lelaki di Amerika Syarikat terpaksa melalui pengalaman pahit apabila ditahan di sebuah hospital dan diberikan ubat untuk pesakit mental.

Akibatnya, dia mengalami tekanan sepanjang berada dalam tahanan hospital itu lebih lima bulan.

Joshua Spriestersbach ditahan ketika tidur di luar pusat gelandangan pada Mei 2017 kerana disangka Thomas Castleberry yang melakukan cubaan kekerasan ketika dalam pengawasan.

Walaupun Spriestersbach berulang kali memaklumkan, dia bukan Castleberry, namun tiada sesiapa yang mempedulikannya sebelum dia dihantar ke Hospital Hawaii bermula September 2017 hingga Februari 2018.

Pihak hospital hanya menyedari dia bercakap benar apabila seorang pekerja yang mengiringinya keluar dari hospital untuk mendapatkan salinan kad Keselamatan Sosialnya dan kad pengenalannya.

Selepas dibebaskan, Spriestersbach kini sedang mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkaitan atas dakwaan pemenjaraan palsu, penyelewengan perubatan dan sengaja menimbulkan tekanan emosi, menurut Hawaii News Now.

Dalam tuntutan mahkamahnya yang difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Honolulu, peguamnya berkata, anak guamnya terpaksa merelakan dirinya makan ubat pesakit mental kerana tiada siapa mempercayai apa yang dia cuba jelaskan.

"Dia terpaksa mengambil ubat psikiatri dalam dos semakin tinggi hingga menjadi katatonik...Semuanya kerana Joshua terus menegaskan dia bukan Thomas R Castleberry dan tidak melakukan apa-apa jenayah," menurut tuntutan mahkamah itu seperti dilaporkan portal Toronto Sun.

Difahamkan, Castleberry sebenarnya sudah berada di penjara selepas ditahan di Alaska pada 2016 sebelum Spriesterbach ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:01 AM