PUTERA Andrew. FOTO AFP
PUTERA Andrew. FOTO AFP
AFP

New York: Mahkamah menetapkan 4 Januari tahun hadapan untuk mendengar rayuan Putera Andrew berhubung dakwaan dirinya melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS).

Putera Andrew, 61, memfailkan rayuan untuk menolak dakwaan itu.

Mahkamah akan mendengar hujah daripada defendan untuk menolak tuduhan pada 4 Januari 2022, jam 10 pagi," kata Hakim Lewis Kaplan.

Duke of York, 61, diasak tekanan sejak Ogos lalu apabila Virginia Giuffre, 38, memfailkan kes itu di Mahkamah Persekutuan Manhattan mendakwa anak kedua Ratu Elizabeth itu melakukan serangan ketika dia bawah umur hampir 20 tahun lalu.

Giuffre mendakwa pengurus dana AS, mendiang Jeffrey Epstein 'meminjamkannya' untuk seks kepada rakan sekutunya yang kaya dan berkuasa termasuk Andrew.

Dia mendakwa Andrew melakukan perbuatan itu di rumah Epstein di New York serta pulau peribadi milik mendiang di Kepulauan Virgin.

Wanita itu turut mendakwa bahawa Andrew melakukan penderaan seksual di rumah sosialit Ghislaine Maxwell di London.

Andrew menafikan dakwaan itu dan memohon ia ditolak dan mengatakan tuduhan itu tiada merit dan dilakukan demi wang.

Mahkamah juga menetapkan September hingga Disember tahun depan untuk perbicaraan jika permohonan Andrew itu ditolak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 4:50 PM