VAKSIN Moderna. FOTO fail AFP
VAKSIN Moderna. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Pakar mengesyorkan dos penggalak Moderna diberikan kepada golongan berisiko tertentu di Amerika Syarikat (AS).

Cadangan itu dikemukakan Jawatankuasa Penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) terdiri daripada penyelidik, ahli epidemiologi dan pakar penyakit berjangkit selepas sebulan keputusan sama diambil untuk suntikan vaksin Pfizer.

Selepas sehari, mereka memutuskan membenarkan penggalak Moderna untuk tiga kategori iaitu individu berusia 65 tahun, 18 hingga 64 tahun yang berisiko lebih tinggi, serta bekerja di lapangan yang kerap terdedah dengan virus.

Definisi sama digunakan untuk penggalak Pfizer.

Kategori terakhir membabitkan pekerja pasar raya, petugas kesihatan, banduan dan individu di pusat gelandangan.

Dos penggalak boleh diberikan enam bulan selepas suntikan kedua vaksin Moderna.

Jumlah dos disyorkan pula ialah 50 mikrogram iaitu separuh daripada dos diberikan dalam suntikan awal.

Seorang wakil Moderna memaklumkan kepada panel itu, dos penggalak akan membantu memerangi varian Delta, di mana keberkesanan vaksin semakin menurun dari semasa ke semasa walaupun tetap berkesan terhadap kes yang teruk.

Jawatankuasa itu akan bermesyuarat sekali lagi pada Jumaat untuk memberikan keputusan dos penggalak untuk vaksin Johnson & Johnson.

Ia juga akan membincangkan hasil kajian yang diterbitkan minggu ini yang melihat kemungkinan menggunakan vaksin yang berbeza untuk suntikan penggalak daripada yang digunakan untuk dos awal, yang pada masa ini tidak dibenarkan di AS.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 9:36 AM