WILLIAM Shatner. FOTO AFP
WILLIAM Shatner. FOTO AFP
AFP

Washington: Bintang filem Star Trek, William Shatner, 90, muncul sebagai individu tertua mengunjungi angkasa lepas.

Pemegang watak 'Kapten Kirk' dalam siri filem sains fiksyen itu, menjadi kru Star Trek pertama mengembara ke angkasa lepas.

Ia menerusi misi kedua Blue Origin pada Rabu.

Dia menyertai pengembaraan 11 minit ke ruang angkasa dan kembali semula ke bumi bersama tiga yang lain iaitu Eksekutif Blue Origin, Audrey Powers; Pengasas Bersama Planet Labs, Chris Boshuizen serta Glen de Vries dari Medidata Solutions.

Roket New Shepard akhirnya berlepas dari pangkalan Texas Barat pada jam 9.49 pagi sejauh 106 kilometer dari paras laut selepas mengalami dua kali kelewatan.

Pemilik roket itu, Jeff Bezos menyambut ketibaan kru terbabit yang mendarat menggunakan kapsul dengan payung terjun.

Pelakon berusia 90 tahun dari Kanada itu, menyifatkan peluang itu satu pengalaman berharga dalam hidupnya.

"Sukar dipercayai. Apa yang diberikan kepada saya ini pengalaman yang paling berharga yang tidak pernah saya bayangkan.

"Apa yang baru berlaku ini amat menyentuh emosi saya," katanya kepada wartawan sambil menangis.

Penerbangan misi kedua selepas Julai lalu itu, dilihat bakal memacu sektor pelancongan angkasa lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 3:18 PM