ANTARA kaset yang dijual di kedai berkenaan. FOTO AFP
ANTARA kaset yang dijual di kedai berkenaan. FOTO AFP
Agensi

Manchester: Siapa sangka di satu sudut di tingkat atas sebuah pasar di Manchester terdapat kedai terakhir di United Kingdom (UK) yang menjual kaset.

Mars Tapes merangkumi 1,000 kaset, radio Coca-Cola, pemain kaset Walkman edisi vintaj dan aksesori lain berkaitan dengan kaset.

Album Elvis Presley, Florence and the Machine dan Lewis Capaldi melengkapkan ruangan rak kedai itu serta muzik latar membawa pelanggan kembali ke masa lampau.

Kedai itu dibuka pada 2019 oleh sekumpulan anak muda yang begitu mencintai muzik, jelas pengasas bersamanya, Giorgio Carbone.

Jurutera bunyi Sepanyol, Borja Regueira, 28, dan kekasihnya, Moira Lorenzo, 27, pada mulanya mencadangkan untuk memulakan kedai kaset sahaja.

Carbone, 30, yang berasal dari Itali dan wartawan yang juga pemuzik, Alex Tadros, 28, menyokong idea itu serta menggabungkan kedai itu ke dalam syarikat rakaman mereka.

MARS Tapes kedai terakhir di Britain yang menjual kaset. FOTO AFP
MARS Tapes kedai terakhir di Britain yang menjual kaset. FOTO AFP

Kedai ini memanfaatkan trend nostalgia ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

Ramai orang mula beralih kepada membaca buku dan menonton filem klasik serta siri televisyen untuk menghilangkan kebosanan.

Penjualan vinil di Britain tahun lalu melonjak ke tahap tertinggi sejak 1990-an.

Artis moden seperti Lady Gaga, Dua Lipa dan Selena Gomez mengeluarkan kaset, baru-baru ini, sehingga penjualan kaset di UK meningkat kepada 157,000 unit pada 2020, iaitu angka tertinggi sejak 2003.

Pengeluaran kaset secara besar-besaran bermula pada 1960-an dengan 2.4 juta pemain kaset dihasilkan dan dijual di seluruh dunia oleh 86 pengeluar berbeza pada 1968.

Tetapi zaman kegemilangannya di UK berakhir dengan ledakan penjualan cakera padat (CD) pada 1980-an dan 1990-an.

Pengurus gudang, Mark Williams, 38, melihat koleksi Mars Tapes dengan kamera analog tergantung di lehernya dan mengatakan minatnya kerana 'nostalgia'.

"Saya lahir pada era 80-an dan 90-an dan dibesarkan dengan kaset. Ini nyata, sesuatu yang anda miliki secara fizikal, bukan hanya memuat turun data, " katanya kepada AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 6:31 AM