AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) menyiasat sama ada terdapat orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan ke atas sebuah kereta yang penuh bahan letupan di Kabul pada Ahad, kata jurucakap Komando Pusat AS (Centcom).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas CNN melaporkan sekeluarga membabitkan sembilan orang, termasuk enam kanak-kanak terbunuh dalam serangan berkenaan.

AFP belum dapat mengesahkan laporan tersebut, namun media tempatan turut melaporkan bahawa orang awam terbunuh dalam insiden itu.

Jurucakap Centcom, Kapten Bill Urban berkata, pihaknya menyedari laporan mendakwa terdapat korban awam dalam serangan udara yang dilancarkan tentera AS.

"Kami masih menyiasat hasil serangan itu, yang mana ia sebagai gangguan ke atas ancaman ISIS-K yang mahu dilakukan di lapangan terbang," katanya, menggunakan singkatan ISIS-K bagi merujuk cabang militan Afghanistan dalam serangan berani mati di lapangan terbang Kabul, Khamis lalu.

KENDERAAN yang musnah dalam serangan udara AS pada Ahad. FOTO EPA.
KENDERAAN yang musnah dalam serangan udara AS pada Ahad. FOTO EPA.

Urban berkata, pihaknya juga maklum berlaku letupan besar dan kuat daripada kemusnahan kenderaan terbabit, sekali gus menunjukkan terdapat sejumlah besar bahan letupan di dalamnya yang mungkin boleh menyebabkan korban jiwa.

"Namun, masih belum jelas apa berlaku dan kami masih melakukan siasatan lanjut. Pihak kami turut berdukacita sekiranya ada nyawa tidak bersalah yang terkorban," katanya.

Serangan udara AS berlaku setelah pengebom berani mati kumpulan Daish menyasarkan tentera AS di lapangan terbang Kabul pada Khamis lalu, yang menyebabkan 13 anggota terbunuh.

Menurut jurucakap Taliban, kereta yang disasarkan dalam serangan udara berkenaan sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Kabul.

Kira-kira 114,000 orang sudah dipindahkan sejak 15 Ogos, apabila Taliban kembali berkuasa di wilayah berkenaan.

Pengunduran AS dari negara itu dijadualkan selesai Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 11:30 AM