PENTAGON. FOTO fail AFP
PENTAGON. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Pentagon akan mewajibkan vaksinasi Covid-19 kepada semua tentera Amerika Syarikat (AS) menjelang pertengahan September ketika lonjakan jangkitan varian Delta.

Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin berkata, dia akan meminta Presiden Joe Biden untuk meluluskan langkah itu dalam tempoh lima minggu.

Ia walaupun tidak ada vaksin sedia ada yang mendapat kelulusan penuh dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).

Bagaimanapun, arahan itu boleh dilaksanakan lebih awal, jika vaksin Pfizer mendapat kelulusan penuh lapor AFP.

Pegawai berkata, mereka berpendapat Pfizer dapat memperoleh kebenaran penuh FDA pada awal September.

Oleh kerana vaksin Covid-19 hanya mendapat diluluskan untuk penggunaan kecemasan, tentera AS hingga kini tidak mewajibkan anggota mendapatkan vaksin.

Ia akan menimbulkan perkara berbangkit mengenai undang-undang, kecuali Biden mengeluarkan pengecualian mengenainya.

Sekiranya Pfizer atau vaksin lain tidak mendapat kelulusan FDA sepenuhnya pada pertengahan September, Austin berkata, dia akan meminta persetujuan Biden untuk perkara itu.

Jurucakap Jabatan Pertahanan John Kirby berkata, Pentagon berharap dapat memiliki stok ratusan ribu dos yang vaksin diperlukan, manakala setiap cabang perkhidmatan sedang mempersiapkan rancangan untuk mewajibkan vaksinasi.

Setakat ini, 73 peratus daripada 1.4 juta pasukan tugas aktif menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan, tetapi jika mengambil kira 1.1 juta anggota pasukan simpanan, jumlah itu berubah kepada 56 peratus.

Tahap yang rendah itu menyebabkan pegawai AS bimbang terhadap kemungkinan virus itu menjejaskan kesiapsiagaan tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 10:21 AM