CNN. FOTO fail AFP
CNN. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Agensi berita CNN memecat tiga pekerjanya yang hadir bekerja ke pejabat meskipun mereka belum divaksin.

Presiden CNN Jeff Zucker menjelaskan, semua kakitangan melalui satu pekeliling semalam mewajibkan vaksinasi sekiranya melaporkan diri ke pejabat atau bertugas di lapangan di mana akan berlaku kontak rapat dengan pekerja lain.

Bagaimanapun, CNN tidak mendedahkan sebarang butiran berhubung tindakan pemecatan itu atau di lokasi mana pekerja terbabit.

Beliau yang juga pengerusi bahagian berita dan sukan Warner Media berkata, syarikat itu tidak akan bertolak ansur mengenai isu itu.

Pekeliling itu menjadi tular selepas dibocorkan kepada media menerusi Twitter wartawan CNN Oliver Darcy. "Semua kakitangan dari berita, sukan, dan studio yang datang sekarang dan ke selepas ini mesti diberi vaksin. Kami sudah jelas mengenai perkara ini selama berbulan-bulan, jadi seharusnya tidak ada kekeliruan," kata memo dalaman itu.

Buat masa ini sebahagian besar unit jabatan CNN sudah mula beroperasi secara sukarela dan Zucker berkata, lebih daripada satu pertiga kakitangan bahagian berita sudah kembali bertugas.

Bukti vaksinasi setakat ini adalah berdasarkan keikhlasan individu, tetapi Zucker berkata dasar berkenaan mungkin akan diubah pada masa akan datang.

CNN mewajibkan semua kakitangan di Atlanta, Washington dan Los Angeles memakai pelitup muka, selain pada waktu makan dan minum

Dalam pada itu CNN juga mengumumkan tarikh pembukaan sepenuhnya operasi syarikat itu akan ditunda hingga sekurang-kurangnya awal atau pertengahan September depan.

Syarikat media lain turut mengikuti jejak yang sama selepas jangkitan kes Covid-19 melonjak dengan ketara di Amerika Syarikat.

Selain CNN, Google, Facebook dan Uber turut mewajibkan vaksinasi bagi semua pekerja yang kembali ke pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 4:51 PM