VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
Agensi

New York: Suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 Pfizer dijangka lebih kuat dan berupaya meningkatkan perlindungan bagi melawan varian Delta, kata pengeluarnya pada Rabu.

New York Post melaporkan, syarikat farmaseutikal itu menerusi data dikeluarkan menyatakan suntikan penggalak dapat meningkatkan kadar antibodi terhadap mutasi, lebih lima kali ganda buat individu berusia 18 hingga 55 tahun, dibandingkan dengan hanya dua dos.

Bagi mereka yang berumur 65 hingga 85 tahun, dos ketiga meningkatkan tahap antibodi lebih daripada 11 kali ganda.

Kumpulan penyelidik mengatakan hasil penemuan yang belum ditinjau atau diterbitkan dalam jurnal ilmiah menunjukkan suntikan dos ketiga sangat meningkatkan perlindungan terhadap varian Delta.

"Terdapat anggaran potensi peningkatan hingga 100 kali ganda dalam peneutralan Delta pasca dos tiga berbanding pra-dos tiga," kata penyelidik.

Pfizer bertemu dengan pegawai kesihatan persekutuan awal bulan ini untuk membincangkan perlunya penambahan vaksin Covid-19 dan bersedia untuk mendapatkan kebenaran bagi membekalkannya.

Ketua penasihat perubatan Rumah Putih, Dr Anthony Fauci sebelum ini memaklumkan yang kemungkinan rakyat Amerika Syarikat (AS) memerlukan suntikan penggalak (booster) walaupun lebih banyak data diperlukan sebelum pegawai kesihatan mengesyorkannya.

"Ada kajian yang sedang dilakukan kini membincangkan kemungkinan apakah dan bila kita harus memberi suntikan penggalak, ada banyak kerja sedang dilakukan untuk memeriksa ini dalam masa sebenar," katanya menerusi program State of the Union di CNN, awal bulan ini.

"Sebelum kamu mendapatkan data itu, akan selalu ada individu dan syarikat berkata, 'Kamu tahu, cara kita melihat keadaan, nampaknya kamu mungkin memerlukan penggalak, jadi mari kita teruskan (beri penggalak).

"Bagaimanapun, itu bukan cadangan rasmi, " tambahnya.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), varian Delta yang pertama kali muncul di India pada bulan Disember kini menyumbang 82 peratus kes baharu Covid-19 di AS.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 10:27 AM