AFP

Washington: Individu terkaya dunia, Jeff Bezos meluangkan masa beberapa minit di ruang angkasa pada Selasa, dalam misi pertama, Blue Origin untuk mempromosi sektor pelancongan angkasa yang sebelum ini tergendala bertahun.

Perjalanan 10 minit dari barat pangkalan Texas hingga melepasi garisan Karman iaitu sempadan yang diiktiraf antarabangsa sebagai tanda permulaan ruang angkasa, berlangsung sempurna bersama tiga lagi peserta termasuk individu paling tua dan paling muda.

Bezos berkata, seperti mereka terdahulu yang pernah ke angkasa, beliau juga sangat kagum dan tertarik dengan bumi, bukan hanya keindahannya tetapi juga kerapuhan.

"Ia suatu cara untuk mengenalinya secara intelektual, tapi menjadi suatu perkara yang lain apabila benar-benar melihatnya dengan mata sendiri," katanya.

Kapal angkasa New Shepard yang membawa Bezos, 57, dan peserta lain berlepas pada 8.12 pagi dari pangkalan pelepasan satu Blue Origin, kira-kira 40 kilometer dari pekan Van Horn, Texas.

Menyertai hartawan Amazon itu adalah adiknya, Mark; perintis penerbangan wanita, Wally Funk, 82; dan remaja 18 tahun, Oliver Daemen.

Funk dan Daemen menjadi individu paling tua dan muda berada di angkasa lepas, dengan Daemen mengisi kekosongan selepas jutawan yang memenangi kerusi penumpang bernilai $28 juta (RM118.79 juta) menangguhkan penerbangan kerana 'konflik penjadualan'.

BAGNAIA cipta sejarah Itali.
BAGNAIA cipta sejarah Itali.

Remaja dari Belanda terbabit mengambil alih tempat bapanya yang merupakan pemenang tempat kedua.

Bezos mengasaskan Blue Origin pada tahun 2000, dengan misi membina koloni angkasa bersama graviti buatan bagi membolehkan jutaan orang tinggal dan bekerja.

Terdahulu, New Shepard memasuki ruang udara dengan kelajuan melebihi 2,300 mph (3700 kph) dan kapsulnya berpisah daripada pengorbit apabila mencapai ketinggian yang cukup untuk membolehkan peserta menikmati pengalaman berada dalam ruang sifar graviti selama tiga ke empat minit.

Rakaman menunjukkan aksi mereka terbalik dan Daemen menyambut Skittles yang dibaling, ketika kapsul capai altitud tertinggi 107 kilometer.

"Kami seronok. Penjelajahan ini sangat mengagumkan," kata Funk yang menerima latihan sebagai angkasawan namun dinafikan peluang ke angkasa kerana seksisme.

Deamen pula berkata, "saya mahu pergi lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 12:02 PM