Jeff Bezos. FOTO AFP
Jeff Bezos. FOTO AFP
AFP

Washington: Pengasas Amazon, Jeff Bezos mengumumkan untuk menyertai penerbangan ke angkasa bulan depan menggunakan pesawat dari firma roketnya, Blue Origin.

"Sejak saya berusia lima tahun, saya sudah memasang impian untuk ke angkasa. Pada 20 Julai nanti saya akan ke sana dengan adik saya," katanya dalam hantaran di Instagram.

Mereka akan mengembara ke angkasa dalam penerbangan pertama yang disertai kru menggunakan kapsul New Shepard.

Syarikat berkenaan juga sedang membuka bidaan untuk penumpang ketiga yang ketika ini sudah mencecah angka AS$2.8 juta meliputi hampir 6,000 peserta dari 143 negara.

Perjalanan itu berlangsung selama 10 minit, di mana penumpang akan menghabiskan masa di atas garis Karman yang menandakan sempadan yang diakui antara atmosfera dan angkasa.

Sistem roket suborbital yang dapat digunakan semula itu dinamakan sempena Alan Shepard, warga Amerika pertama menjejak angkasa 60 tahun lalu.

Hasil bidaan akan diberikan kepada Yayasan Blue Origin, Club for the Future, yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mengejar kerjaya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 8:32 PM