ELON Musk. FOTO AFP
ELON Musk. FOTO AFP
Agensi

Washington: Jurutera aeroangkasa dan penulis fiksyen sains, Wernher Von Braun seolah-olah sudah meramalkan agenda pengasas SpaceX, Elon Musk untuk menakluk angkasa, 70 tahun lalu lagi.

New York Post melaporkan ia kerana Von Braun pernah menggambarkan seorang lelaki bernama Elon memerintah Marikh sebagai karakter dalam salah satu novelnya.

Menurut satu laporan, Von Braun mencipta watak Elon dalam novel fiksyen keluaran 1952 bertajuk Project Mars berkaitan fantasi ruang angkasa mengenai misi ke Marikh.

Ramalan buku itu dirungkai beberapa tahun dulu cuma mula diperkatakan di media sosial, minggu lalu.

Menerusi novel itu, Von Braun menggambarkan sebuah kerajaan Marikh yang dipimpin oleh 10 individu bekerja di bawah pemimpin bernama Elon.

Selepas Perang Dunia Kedua, Von Braun yang mengusahakan roket untuk Nazi, adalah antara kumpulan saintis Jerman yang secara diam-diam berpindah ke Amerika Syarikat (AS).

Dia bertugas dalam bidang penerokaan angkasa lepas di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

Media Amerika Syarikat (AS) sebelum ini melaporkan Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk adalah individu terkaya dunia.

CNBC menganggarkan kekayaan Elon mencecah AS$185 bilion (RM740 bilion).

Beliau mengatasi kekayaan pengasas dan CEO Amazon, Jeff Bezos.

Elon juga adalah pemegang saham utama Tesla, syarikat peneraju dalam pasaran kereta elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:30 AM