VAKSIN Moderna. FOTO AFP
VAKSIN Moderna. FOTO AFP
AFP

Washington: Moderna pada Khamis berkata vaksin Covid-19 mereka adalah 96 peratus berkesan untuk individu berusia 12 hingga 17 tahun berdasarkan keputusan ujian klinikal pertama.

Dua pertiga daripada 3,235 peserta ujian itu di Amerika Syarikat (AS) menerima vaksin dan satu pertiga diberikan placebo.

Menurut syarikat itu, kajian menunjukkan keberkesanan vaksin terhadap Covid-19 adalah 96 peratus, ujian vaksin iaitu mRNA-1273 secara umumnya diterima dengan baik tanpa masalah keselamatan serius sehingga kini.

Ujian mengesan 12 kes Covid-19 selepas tempoh 14 hari menerima suntikan pertama dan susulan seterusnya secara purata adalah 35 hari selepas suntikan kedua.

Syarikat farmaseutikal itu berkata kesan sampingan adalah ringan atau sederhana teruk dan kebiasaannya sakit di bahagian yang disuntik.

Suntikan kedua memberi kesan sampingan termasuk sakit kepala, kelesuan, sakit otot dan menggigil.

"Tiada masalah keselamatan yang dikenal pasti sehingga kini," katanya.

Moderna berkata ketika ini mereka dalam perbincangan berhubung kemungkinan perubahan dalam peringkat usia bagi penggunaan vaksin itu.

Ketika ini ia hanya sesuai untuk mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas di negara yang sudah diluluskan untuk penggunaannya.

Pfizer dan BioNTech sudah memohon untuk kebenaran untuk vaksin mereka digunakan untuk mereka berusia 12 hingga 15 tahun di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Pada Rabu, Kanada menjadi negara pertama membenarkan suntikan Pfizer bagi kumpulan usia ini.

Vaksinasi remaja adalah langkah seterusnya dalam kempen untuk akhirnya membendung wabak ini.

Moderna juga memulakan ujian vaksinnya pada kanak-kanak berusia enam bulan hingga 11 tahun pada Mac.

Pfizer dan BioNTech pada hari Selasa mengumumkan bahawa mereka berharap dapat kebenaran untuk vaksin mereka digunakan untuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun pada September ini di AS.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 2:10 PM