GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

New York: Grab merancang untuk disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat (AS) melalui kerjasama dengan Altimeter Growth Corporation dalam kerjasama yang menjadikan nilai Grab mencecah AS$39.6 bilion (kira-kira RM163.7 bilion).

Penyenaraian berkenaan yang dijangka berlangsung dalam beberapa bulan lagi di Nasdaq, akan menjadi pelancaran terbesar dalam pasaran setakat ini, melalui syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC).

Sekiranya berjaya, ia akan memberikan Grab AS$4.5 bilion (kira-kira RM18.6 bilion) dana tambahan.

Perjanjian berkenaan membabitkan Grab bergabung dengan syarikat yang sudah disenaraikan yang mana perniagannya termasuk membantu pengapungan pasaran saham.

Model SPAC menjadi cara popular untuk menyenaraikan syarikat kerana ia lebih pantas dan kurang mahal berbanding tawaran awam permulaan (IPO).

Grab, syarikat unicorn Asia - atau syarikat swasta yang bernilai lebih dari AS$1 bilion dijangka membuka jalan bagi syarikat serupa di rantau ini yang berhasrat menjual saham kepada orang awam.

"Ini memberi kami kebanggaan besar untuk mewakili Asia Tenggara di pasaran awam global," kata kenyataan itu yang memetik pengasas dan ketua eksekutif Grab, Anthony Tan.

Katanya, perkongsian Grab dengan Altimeter harus membawa kepada "penawaran ekuiti terbesar AS yang pernah dibuat oleh syarikat Asia Tenggara".

"Syarikat gabungan itu akan memperdagangkan saham "di NASDAQ di bawah simbol 'GRAB' dalam beberapa bulan akan datang.

"Cadangan urus niaga ini menyaksikan nilai awal ekuiti proforma Grab kira-kira AS$39.6 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 9:26 PM