PASANGAN itu bersama bayi dilahirkan. FOTO Agensi
PASANGAN itu bersama bayi dilahirkan. FOTO Agensi
Agensi

Boston: Seorang wanita di Massachusetts, Amerika Syarikat kehilangan kata-kata apabila selamat melahirkan bayi tanpa menyedari dia hamil selama ini.

Melissa Surgecoff, 38, dari Boston berkata, dia mengalami kekejangan perut pada 8 Mac lalu yang disangkanya berpunca daripada penyakit batu karang dialaminya selama ini.

Katanya, dia ke tandas bagi meredakan kesakitan itu tetapi secara tiba-tiba sesuatu terjatuh ke mangkuk tandas.

"Saya sangkakan itu batu karang, rupanya bayi.

"Saya menjerit kerana panik dan terkejut sebelum tunang saya masuk ke tandas melihat saya," katanya kepada Today.

Katanya, dia sudah lama mengalami masalah haid tidak teratur dan sedang berusaha menurunkan berat badan

Ia memandangkan dia sudah terperap lama di rumah akibat perintah berkurung Covid-19.

Sementara itu, tunangnya, Donnie Campbell, 37, berkata walaupun terkejut dengan apa yang berlaku, mereka gembira menyambut kelahiran bayi lelaki berkenaan.

Memetik portal Daily Mirror, ibu dan bayi itu dikejarkan ke hospital.

Bayi dinamakan Liam itu dilaporkan sihat namun mengalami anemia yang tidak serius.

Pasangan itu bersama sejak 2004 dan merancang berkahwin tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik.

Mereka merancang meneruskan perkahwinan mereka bersama bayi berkenaan, 18 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 7:00 AM