Pasukan perubatan memberi bantuan kepada mangsa tembakan rambang di sebuah pasar raya di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat. Foto AFP
Pasukan perubatan memberi bantuan kepada mangsa tembakan rambang di sebuah pasar raya di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat. Foto AFP
AFP

Boulder: Enam maut termasuk seorang pegawai polis dalam kejadian tembakan rambang di pasar raya King Sooper di sini, semalam.

Ketua Polis Boulder, Kerry Yamaguchi berkata, pihaknya sudah menahan lelaki yang melakukan tembakan rambang itu yang turut tercedera dalam kejadian itu.

"Kita menerima laporan beberapa orang maut dalam kejadian berkenaan. Kita turut sedih kerana seorang daripadanya adalah pegawai polis," katanya.

Bagaimanapun, Yamaguchi tidak mengesahkan jumlah sebenar yang terbunuh dan motif kejadian itu.

Beberapa media Amerika Syarikat (AS) melaporkan sekurang-kurangnya enam orang maut dengan memetik sumber penguat kuasa undang-undang.

Mengulas lanjut, Yamaguchi berkata, suspek yang ditahan turut mengalami kecederaan serius.

Rakaman video di luar pasar raya itu menunjukkan kenderaan SWAT dengan puluhan anggota polis berpakaian taktikal dilihat memasuki premis tersebut.

Bandar Boulder terletak sekitar 50 kilometer di barat laut ibu negeri Denver di timur kaki Pergunungan Rocky.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki berkata, Presiden Joe Biden yang bulan lalu meminta Kongres untuk melakukan reformasi undang-undang senjata sudah diberi penjelasan mengenai kejadian itu.

Gabenor Colorado, Jared Polis pula menyifatkan kejadian itu sebagai 'tidak masuk akal'.

"Hati kami hancur ketika menyaksikan peristiwa yang tidak dapat diungkapkan ini berlaku dalam komuniti di bandar kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 11:05 AM