FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
AFP

Washington: Individu di Amerika Syarikat (AS) yang sudah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19 boleh berkumpul di dalam bangunan bersama-sama orang lain yang sudah divaksin, tanpa perlu memakai pelitup muka.

Ia dinyatakan dalam garis panduan terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) negara itu, pada Isnin.

Mereka yang sudah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19 juga boleh melawat individu yang belum divaksin dari isi rumah yang berlainan, tanpa memakai pelitup muka dan tidak perlu mengamalkan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, Pengarah CDC, Rochelle Walensky berkata, kelonggaran itu hanya untuk bertemu individu yang belum divaksin, tetapi tidak berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 serius.

Menurut garis panduan itu juga, mereka yang menerima suntikan lengkap vaksin dan terdedah kepada individu yang menghidap Covid-19 tidak perlu menjalani ujian saringan, kecuali jika bergejala.

Bagaimanapun, pengecualian itu tidak terpakai untuk mereka yang berada dalam persekitaran ramai orang dalam satu bangunan atau premis, seperti rumah penjagaan dan penjara.

Kelonggaran itu dikeluarkan oleh CDC ketika negara itu bersedia membuka semula sekolah dan sektor perniagaan.

Setakat ini, lebih 59 juta penduduk AS sudah menerima suntikan satu dos atau lebih, iaitu kira-kira 23 peratus daripada populasi dewasa di negara itu.

Individu dikategorikan sudah diimunisasi sepenuhnya, dua minggu selepas menerima suntikan dos kedua untuk vaksin Pfizer dan Moderna.

Bagi vaksin satu dos seperti keluaran Johnson & Johnson, mereka dikategorikan sudah diimunisasi sepenuhnya selepas menerima dos tunggal vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, CDC terus mengesyorkan supaya individu yang sudah menerima imunisasi lengkap untuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal di tempat umum, atau ketika bersama individu dari isi rumah berlainan di dalam bangunan sama.

Garis panduan baharu itu juga tidak terpakai untuk mereka yang bertemu individu yang sedia ada mempunyai penyakit sekali gus lebih berisiko terhadap jangkitan Covid-19 yang serius.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:31 AM