VAKSIN Moderna dan Pfizer-BioNTech. FOTO AFP
VAKSIN Moderna dan Pfizer-BioNTech. FOTO AFP
AFP

Washington: Ahli farmasi warga Amerika yang didakwa memusnahkan ratusan dos vaksin Covid-19 bulan lalu, dipercayai 'ahli teori konspirasi' dan percaya dengan khabar angin tidak berasas mengenai keselamatan mereka.

Steven Brandenburg mengeluarkan 57 vial vaksin Covid-19 keluaran Moderna, di mana setiap satunya mengandungi 10 dos, daripada peti simpanan beku di Aurora Medical Center di Grafton, Wisconsin kerana mempercayai secara salah bahawa ia adalah berbahaya dan boleh mengubah DNA manusia.

Vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech dibangunkan berdasarkan teknologi mRNA yang menyampaikan maklumat genetik kepada tubuh manusia untuk membantu menghasilkan antibodi terhadap koronavirus.

Pakar mengatakan bahawa tidak ada bukti sama sekali yang menunjukkan mereka mengubah DNA manusia, dan berjuta-juta orang telah diinokulasi menggunakan vaksin itu.

Ia memerlukan suhu yang terlalu rendah untuk penyimpanan dan boleh rosak atau musnah jika tidak mengikut piawaian sepatutnya.

Brandenburg dipercayai membuat cubaan memusnahkan dan merosakkan vaksin berkenaan dalam dua kejadian berasingan, kata pihak pendakwa dalam perbicaraan mahkamah pertama semalam.

"Niatnya adalah untuk membuat vaksin itu rosak kerana dia mempunyai kepercayaan bahawa ia (vaksin) tidak selamat, teknologi RNA untuk menghasilkan ubat ini tidak selamat," kata Peguam daerah Ozaukee County, Adam Gerol ketika perbicaraan.

Brandenburg pada awalnya memaklumkan pihak hospital bahawa vaksin itu disimpan dalam keadaan tidak disejukkan secara tidak sengaja, tetapi kemudian mengakui bahawa dia sengaja membuangnya.

Lelaki berusia 46 tahun itu kemudian membuat pengakuan bahawa dalam satu kejadian lain, dia memasukkan semula vaksin yang tidak disimpan itu ke dalam peti simpanan beku, yang kemudiannya disuntik kepada 57 individu, kata pengendali hospital.

Semua individu berkenaan dimaklumkan mengenai kejadian itu dan setakat ini tiada bukti vaksin berkenaan menyebabkan mereka sakit.

Lelaki itu sudah dipecat dan pengendali hospital memaklumkan kepada pihak berkuasa, termasuk FBI.

Dia kemudiannya ditahan Khamis minggu lalu.

Pihak pendakwa berkata, hukuman mungkin boleh diringankan sekiranya vaksin berkenaan masih boleh digunakan.

Dia juga memaklumkan pihak berkuasa bahawa dia berada dalam tekanan kerana sedang berdepan permohonan cerai serta isterinya memfailkan hak penjagaan dua anak mereka.

"Dia mengatakan kepada saya bahawa jika saya tidak faham bahawa dunia di sekeliling kita sedang musnah, ia bermakna saya berada dalam penolakan serius," kata isterinya dalam pernyataan, menurut The New York Times.

"Dia juga mengatakan bahawa kerajaan sedang merancang serangan siber dan mahu mematikan jaringan tenaga," katanya.

Brandenburg dibebaskan dengan jaminan dan diperintahkan untuk menyerahkan senjata api miliknya.

Teori konspirasi yang tidak berasas mengenai pandemik, terutama vaksin, telah berleluasa di media sosial walaupun terdapat usaha oleh syarikat teknologi untuk menyangkalnya.

Pihak berkuasa dan pakar mengatakan maklumat yang salah itu menimbulkan ancaman serius terhadap usaha memerangi virus dengan mempromosikan keraguan vaksin dan menggalakkan penolakan secara langsung.

Berita Berkaitan

  • 500 dos vaksin Covid-19 dilupus gara-gara lalai
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 6:52 PM