GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Los Angeles: Kecewa apabila mengetahui seorang pesakit Covid-19 berkongsi bilik dengannya, seorang lelaki memukul mati warga emas itu menggunakan tangki oksigen di sebuah hospital di California.

BBC melaporkan, suspek berusia 37 tahun itu dituduh melakukan pembunuhan itu dan jenayah kebencian.

Kedua-duanya adalah pesakit yang menerima rawatan akibat Covid-19 di hospital sama.

Suspek, Jesse Martinez kecewa ketika lelaki berusia 82 tahun yang berkongsi bilik hospitalnya mula berdoa, menurut polis Los Angeles.

Martinez kemudian didakwa mengambil tangki oksigen dan memukul pesakit tua itu.

Mangsa meninggal dunia pada keesokan harinya.

Mereka dipercayai tidak kenal antara satu sama lain dan sedang menerima rawatan untuk Covid-19 di sebuah bilik dua orang di Antelope Valley Hospital di Lancaster di selatan California.

"Suspek menjadi marah ketika mangsa mula berdoa. Dia kemudian memukul mangsa dengan tangki oksigen.

"Suspek ditangkap dan didakwa dengan pembunuhan, jenayah kebencian dan penderaan warga tua," kata kenyataan polis Los Angeles.

Hospital California kini bergelut dengan pandemik itu selepas negara itu mencatat satu juta jangkitan baru hanya dalam tempoh enam minggu.

Lebih dua juta kes kini disahkan di California sejak wabak itu bermula.

Hospital menghadapi kekurangan kakitangan dan negeri mula mengemukakan rayuan untuk mengambil 3,000 pekerja perubatan dari luar negara seperti Australia dan Taiwan.

Pada Isnin, Setiausaha Kesihatan California, Dr Mark Ghaly mengatakan seluruh tempat mungkin kehabisan bilik walaupun di pusat rawatan tambahan menjelang akhir bulan dan awal Januari.

Gabenor California Gavin Newsom mengeluarkan perintah tinggal di rumah dan banyak perniagaan yang tidak penting ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 12:23 PM