KANAK-KANAK Palestin. FOTO AFP
KANAK-KANAK Palestin. FOTO AFP
AFP

Bogota: Kerajaan Colombia, pengkritik keras perang Israel di Gaza, sedia menerima kanak-kanak Palestin yang cedera dan menyediakan rawatan perubatan kepada mereka.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Pelbagai Halanya, Elizabeth Taylor Jay yang mengumumkan perkara itu pada Khamis berkata, ia sebagai tanda sokongan kemanusiaan.

"Kami sudah mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kemanusiaan kepada kanak-kanak Palestin yang akan pergi bersama keluarga mereka ke Colombia untuk pemulihan," katanya.

Dia bercakap sedemikian ketika sedang dalam lawatan negara bersama Presiden Gustavo Petro di Stockholm.

Jay tidak menyatakan berapa ramai kanak-kanak yang akan diambil oleh Colombia, mahupun bagaimana mereka akan dikeluarkan dari Gaza yang dilanda perang.

Petro, presiden berhaluan kiri pertama Colombia, sudah berulang kali mengkritik tindak balas bersenjata Israel terhadap serangan Hamas, dan minggu lalu, menggantung eksport arang batu ke negara itu.

Colombia adalah pembekal arang batu utama Israel.

Petro juga berkata, Colombia akan berhenti membeli senjata buatan Israel, salah satu pembekal utama pasukan keselamatan negara Amerika Selatan itu.

Pada bulan Mei, Colombia mengumumkan ia memutuskan hubungan dengan Israel dan membuka kedutaan di Ramallah, wilayah Palestin.

Perang Gaza bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel selatan yang mengakibatkan kematian 1,194 orang, kebanyakannya orang awam.

Hamas turut merampas 251 tebusan. Daripada jumlah ini, 116 kekal di Gaza walaupun tentera berkata, 41 daripadanya sudah mati.

Serangan balas tentera Israel menyebabkan sekurang-kurangnya 37,232 orang terbunuh di Gaza, juga kebanyakan orang awam, menurut kementerian kesihatan wilayah yang diperintah Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 11:03 AM