Brasilia: Seorang pelacur lelaki membunuh 'kekasihnya' ditangkap selepas kakitangan bank ternampak tangan suspek memegang kepala mangsa ketika mahu mengesahkan pemindahan wang secara dalam talian.
Metro UK melaporkan, Jose Henrique Aguiar Soares, 22, didakwa membunuh lelaki berusia 64 tahun itu selepas pergi ke rumah mangsa dekat wilayah Setor Oeste di Goiania, Goias, Brazil, pada 25 September lalu.
Dia kemudian didakwa menggunakan telefon mangsa dan mencuba mengakses perbankan dalam talian milik lelaki itu yang juga seorang arkitek.
Ketika melakukan pengecaman muka untuk memindahkan wang dari akaun bank mangsa ke akaunnya, dia bertindak memegang kepala lelaki itu.
Pemindahan itu berjaya tetapi ia menimbulkan syak apabila jabatan keselamatan bank melihat gambar digunakan untuk pengecaman muka menunjukkan ada tangan pada kepala pemilik akaun.
Susulan itu, polis bergegas ke rumah pemilik akaun berkenaan sebelum menemukan mayat mangsa dalam keadaan seolah-olah membunuh diri.
Bagaimanapun, pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) mendapati Soares meninggalkan bangunan itu pada 5 pagi, hari kejadian.
Menerusi rakaman sama, lelaki itu dilihat membawa beg pakaian.
Dia ditangkap ketika kembali ke kediaman itu. Rancangannya adalah kononnya menemui mayat mangsa.
Polis berkata, Soares pada mulanya memberikan nama palsu sebelum mengaku melakukan pembunuhan itu.
Selepas soal siasat, polis mendapat tahu identiti Soares dan mendapati suspek dikehendaki kerana jenayah kewangan lain.
Soareas kini dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan kes itu.