MUMIA yang ditemukan di dalam ruang kubur berukuran kira-kira tiga meter panjang dan sedalam 1.4m. FOTO AFP
MUMIA yang ditemukan di dalam ruang kubur berukuran kira-kira tiga meter panjang dan sedalam 1.4m. FOTO AFP
AFP

Lima: Ahli arkeologi di Peru mengesahkan mumia yang ditemui di pinggir ibu kota Lima, mungkin berusia antara 800 dan 1,200 tahun.

Mumia itu ditemukan di dalam ruang kubur berukuran kira-kira tiga meter (m) panjang dan sedalam 1.4m di Cajamarquilla, iaitu kira-kira 24 kilometer timur Lima.

Mumia itu dipercayai seorang lelaki yang berusia antara kira-kira 18 hingga 22 tahun ketika meninggal dunia.

Mayat itu ditemui dalam keadaan terikat dengan tali dan tangan menutup muka.

Ahli arkeologi Pieter Van Dalen, ketua projek penggalian National Major San Marcos University menggelar penemuan itu 'pelik dan unik.'

"Mumia ini dikebumikan antara 800 dan 1200 Masihi," katanya.

Saintis akan menggunakan pentarikhan karbon untuk menentukan umur sebenar mumia itu.

Van Dalen berkata, Cajamarquilla adalah pusat bandar yang boleh menjadi rumah kepada 10,000 hingga 20,000 orang.

Ia dibina pada kira-kira 200 Sebelum Masihi dan diduduki sehingga kira-kira 1,500 tahun.

Turut ditemui di dalam kubur itu ialah rangka tikus dan apa yang ahli arkeologi percaya sebagai anjing.

Kesan jagung dan sayur-sayuran lain ditemukan di ruang kubur.

Penemuan itu mula didedahkan kepada umum pada Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:30 AM