GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Bogota: Colombia membenarkan mangsa keganasan seksual mengemukakan dakwaan atau aduan terhadap penyerang mereka menerusi media sosial.

Mahkamah perlembagaan negara itu memutuskan, puluhan catatan di Facebook dan platform media sosial lain menggunakan tanda pagar #acosadorsexual (penyerang seksual) yang disiarkan bersama gambar pelaku, boleh diambil kira untuk proses mendapatkan keadilan.

Mahkamah memutuskan sebarang kesan yang berpotensi dialami penyerang disebabkan penyiaran dakwaan itu jauh lebih rendah, jika dibandingkan dengan apa yang dialami mangsa, jika perkara itu didiamkan.

Keputusan itu dibuat selepas aduan seorang wanita di Facebook yang mendakwa didera pasangannya.

Dalam catatan itu, wanita berkenaan memberitahu pasangannya itu yang juga rakan kuliahnya di universiti mengambil kesempatan terhadap dirinya dalam keadaan lemah ketika di bawah pengaruh alkohol dan psikoaktif lain.

"Ia (kejadian itu) sangat sukar bagi saya dan (menjejaskan) kesihatan mental saya.

"Saya mengambil masa dua bulan untuk melaporkannya kerana takut," katanya.

Bagaimanapun, lelaki itu mengecam tindakan wanita itu dengan mendakwa pertemuan mereka atas persetujuan bersama.

"Ia adalah serangan yang boleh menjatuhkan kehormatan dan reputasi saya.

"Saya mahu hantaran berkaitan perkara ini ditarik balik dan dipadam serta perlu membuat permohonan maaf secara terbuka," katanya.

Bagaimanapun, keadilan berpihak kepada wanita itu apabila mahkamah memutuskan mangsa berhak berbuat demikian secara terbuka atas apa yang sudah dialaminya.

Mahkamah berpendapat, dakwaan itu berdasarkan pengalaman peribadi dan dilakukan dengan jujur serta wanita yang menjadi mangsa keganasan seksual layak mendapat perlindungan istimewa.

Keputusan itu sekali gus membatalkan keputusan mahkamah rendah pada Jun 2020 yang berpihak kepada lelaki itu.

Tahun lalu, lebih 18,000 orang termasuk hampir 15,500 wanita mendapatkan khidmat badan penyiasatan perubatan Colombia atas dakwaan pelbagai kejadian penderaan seksual.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 11:34 AM