PASUKAN keselamatan dikejarkan ke bandar Tamaulipas susulan pertempuran dua kumpulan penjenayah. FOTO EPA
PASUKAN keselamatan dikejarkan ke bandar Tamaulipas susulan pertempuran dua kumpulan penjenayah. FOTO EPA
Agensi

Mexico City: Beberapa mayat dibuang di tepi jalan selepas sembilan lelaki dilaporkan dibunuh dengan kejam di Mexico.

Penduduk yang terkejut itu berkongsi rakaman kejadian selepas anggota Kartel Timur Laut dan Kartel Teluk saling melepaskan tembakan pada awal pagi Selasa, lapor Daily Star.

Tentera dan pasukan pengawal dikerah ke bandar Tamaulipas selepas tembak-menembak berlaku di Los Guerra berhampiran Ciudad Miguel Aleman, di mana kartel terbabit pernah bertembung sebelum ini.

Kedua-dua kartel itu berada di sempadan Roma, Texas di mana Televisa News melaporkan, kumpulan berkenaan terbabit dalam perang ganas membabitkan perdagangan dadah dan laluan penyeludupan migran.

Tidak dapat dipastikan mangsa terbunuh dari kumpulan mana, namun sekurang-kurangnya 19 terbunuh di Reynosa, yang terletak 100 kilometer di tenggara Ciudad Miguel Aleman.

Sebahagian besar mangsa adalah orang awam yang tidak bersalah yang disasarkan secara rawak oleh lelaki bersenjata.

Presiden Lopez Obrador yang memegang jawatan pada akhir 2018 berjanji untuk mengurangkan keganasan.

Bagaimanapun, 2019 menyaksikan rekod baharu pembunuhan dengan lebih daripada 34,000 mangsa.

Kes pembunuhan menurun hanya 0.4 peratus tahun lalu dan menyusut 2.9 peratus dalam lima bulan pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 7:35 AM