TENTERA Israel melepaskan peluru mortar berhampiran sempadan Israel dan Gaza di selatan Israel, susulan konflik berterusan rejim itu dengan Hamas. FOTO Reuters.
TENTERA Israel melepaskan peluru mortar berhampiran sempadan Israel dan Gaza di selatan Israel, susulan konflik berterusan rejim itu dengan Hamas. FOTO Reuters.
Bernama-Anadolu

Johannesburg: Kes genosid di Gaza yang didakwa dilakukan oleh Israel akan dibentangkan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague minggu depan, menurut seorang pegawai Kementerian Luar.

Kes itu dijadual didengar pada 11 dan 12 Jan, lapor Anadolu.

"Kami akan berada di Mahkamah ICJ pada 11 Jan. Kami akan membentangkan kes mengenai pandangan kami yang berasaskan bukti, termasuk niat khusus jenayah genosid, berdasarkan kenyataan-kenyataan para pemimpin," menurut Zane Dangor, ketua pengarah Kementerian Luar kepada penyiar nasional SABC pada lewat Selasa.

Afrika Selatan yang menyokong perjuangan Palestin sejak beberapa dekad lepas, memulakan prosiding di ICJ bulan lepas memohon mahkamah antarabangsa itu menyiasat jenayah genosid yang didakwa dilakukan oleh Israel di Gaza, dan memutuskan segera bahawa Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948.

Negara itu juga memohon mahkamah memutuskan supaya Israel segera menghentikan tindakan keganasannya.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Israel pada Selasa berkata, pihaknya akan hadir di hadapan ICJ untuk membantah tuduhan genosid oleh Afrika Selatan itu.

Agensi Anadolu baru-baru ini menerbitkan sebuah buku berjudul The Evidence, yang mengandungi visual yang mendedahkan dakwaan tindakan jenayah oleh Israel di Gaza.

Afrika Selatan menggunakan bukti foto itu di ICJ sebagai bukti kesnya.

Jumlah kematian akibat serangan Israel di Gaza sejak 7 Okt, kini melebihi 22,000, dengan lebih separuh daripadanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Kebanyakan penduduk wilayah itu yang berjumlah lebih 2.2 juta, hidup dalam kepungan dan pengeboman berterusan, hilang kediaman dan kekurangan bekalan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 9:38 PM