PENUNJUK perasaan membantah rampasan kuasa oleh tentera. FOTO EPA
PENUNJUK perasaan membantah rampasan kuasa oleh tentera. FOTO EPA
AFP

Khartoum: Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok, dibawa pulang ke rumahnya lewat Khamis, menurut pejabatnya.

Ia susulan tekanan antarabangsa selepas pemimpin itu digulingkan menerusi rampasan kuasa oleh tentera.

Hamdok dikenakan 'pemantauan rapat', manakala menteri dan pemimpin lain masih ditahan.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) menyatakan akan menggantung bantuan kepada negara itu dan langkah itu akan diikuti oleh Kesatuan Eropah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres juga mendesak supaya Hamdok segera dibebaskan menjelang mesyuarat Majlis Keselamatan badan dunia itu.

Pergolakan ketika ini berlaku selepas hanya kira-kira dua tahun perkongsian kuasa diatur antara tentera bersama pemimpin awam susulan penggulingan autokrat, Omar al-Bashir, pada April 2019.

Terdahulu, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan memberi jaminan bahawa kesihatan Hamdok berada dalam 'keadaan baik'.

Sumber tentera yang enggan dikenali pula memaklumkan, Hamdok diiring pulang ke rumah, dengan 'langkah keselamatan' dilakukan 'di sekelilingnya'.

Sementara itu, rakyat yang berang berkumpul di jalanan sambil melaungkan bantahan terhadap pemerintahan tentera.

Sebuah kumpulan doktor pula mendakwa, empat individu ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 9:23 AM