AKSI Naledi Manyoni mencampak anak perempuan yang sempat dirakam BBC.
AKSI Naledi Manyoni mencampak anak perempuan yang sempat dirakam BBC.
Agensi

Cape Town: Seorang ibu terpaksa mencampak anaknya dari tingkat satu bangunan kediaman di bandar Durban, KwaZulu-Natal di Afrika Selatan selepas premis itu terbakar susulan rusuhan berterusan sejak mantan Presiden Jacob Zuma dipenjarakan, minggu lalu.

Sehingga kini, rusuhan itu menyebabkan 72 orang meninggal dunia dan keganasan antara perusuh dan pihak berkuasa dilapor berlaku di banyak tempat.

Aksi wanita, Naledi Manyoni mencampakkan anak perempuannya dari tingkat satu berjaya dirakam BBC, Selasa lalu dan ia berlaku ketika bangunan apartmen itu dibakar perusuh menyebabkan dua beranak selain penduduk lain terperangkap.

Disebabkan tidak dapat keluar, orang ramai yang berada di bawah bangunan menjerit meminta Naledi mencampak anaknya untuk mereka sambut, sebelum dia pula diselamatkan.

Insiden turut dirakam mereka di jalanan dan tular di media sosial.

"Saya sangat takut dan orang ramai menjerit 'campak anak', 'campak anak' menyebabkan saya panik. Saya percaya sesiapa pun akan buat perkara sama untuk mengelak daripada terbakar," kata Naledi ketika ditemui BBC.

Menurutnya, dia hanya berserah dan berharap orang di bawah bangunan dapat menyambut anaknya, malah sangat terkejut apabila mereka berjaya melakukannya.

"Yang penting anak saya selamat. Saya pula terpaksa melarikan diri menerusi belakang bangunan menggunakan tangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 2:52 PM