PENDUDUK kampung serta pencari harta karun memenuhi kawasan terbuka untuk mencari batu kristal misteri.
PENDUDUK kampung serta pencari harta karun memenuhi kawasan terbuka untuk mencari batu kristal misteri.
Agensi

Cape Town: Menganggapnya sebagai hadiah dari tuhan, ribuan pemburu harta karun 'berkampung' sebuah desa kecil, dekat sini, untuk mendapatkan batu permata misteri.

Rata-rata mereka datang dari seluruh negara selepas seorang pengembara mendedahkan penemuan mineral tidak dikenali di situ.

BBC News melaporkan pencari harta karun berkenaan menyertai penduduk kampung di KwaHlathi di wilayah KwaZulu-Natal yang mana ada yang sudah mula menggali sejak Sabtu lalu.

Batu berkenaan yang dipercayai kristal kuarza, pertama kali ditemui di kawasan terbuka.

"Penemuan ini boleh mengubah hidup.

"Ketika saya pulang ke rumah, keluarga saya sangat gembira," kata Mendo Sabelo.

Di samping itu, dia berharap penemuan berkenaan akan mengubah hidupnya memandangkan ramai yang tidak mempunyai pekerjaan di situ.

Jabatan Perlombongan Afrika Selatan berkata, pihaknya menghantar pasukan terdiri daripada ahli geologi dan mineral ke lokasi itu untuk membuat analisis.

Keadaan di situ sesak dengan pencari mineral serta penduduk kampung selain kenderaan yang diletakkan di bahu jalan dapat dilihat di kawasan itu, bersama peralatan menggali.

Ekonomi Afrika Selatan sudah lama merudum dengan tahap pengangguran yang tinggi selain kemiskinan yang masih membelenggu selepas berakhirnya dasar aparteid pada tahun 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 7:30 AM