PETUGAS kesihatan menunjukkan kotak ubat Ivermectin di Cali, Colombia, tahun lalu. FOTO Agensi/AFP
PETUGAS kesihatan menunjukkan kotak ubat Ivermectin di Cali, Colombia, tahun lalu. FOTO Agensi/AFP
AFP

Johannesburg: Pegawai kastam di lapangan terbang antarabangsa Afrika Selatan merampas ribuan tablet ubat yang kononnya didakwa menjadi ubat melawan koronavirus.

Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) mengatakan dalam satu kenyataan bahawa tablet yang disyaki Ivermectin bernilai RM1.6 juta (Rand 6 juta) disita di Lapangan Terbang Antarabangsa Johannesburg OR Tambo dalam tempoh dua minggu ini.

Enam suspek ditahan dan didakwa membawa dan mengimport ubat tidak berdaftar tanpa lesen, kata kenyataan itu.

"Ubat tidak berdaftar ini, terutama dalam bentuk tablet dipercayai diimport bagi tujuan jualan dan digunakan untuk rawatan virus Covid-19.

Ivermectin adalah agen anti-parasit yang didakwa kononnya sebagai penawar yang berpotensi untuk novel coronavirus.

Permintaan untuk ubat ini meningkat walaupun para saintis menegaskan belum ada bukti yang cukup untuk mempromosikannya sebagai ubat penawar Covid-19.

Pengawal selia produk kesihatan Afrika Selatan secara sementara menyetujui penggunaan Ivermectin secara terkawal pada manusia minggu ini dan membatalkan keputusan pada Disember lalu untuk menyekat import ubat itu, yang tidak dihasilkan secara tempatan.

Larangan itu menimbulkan kemarahan di kalangan doktor yang melobi untuk melakukan penyelidikan lebih lanjut mengenai Ivermectin dan mendorong perdagangan pasaran gelap.

Ivermectin digunakan untuk membunuh parasit seperti kutu kepala pada binatang dan manusia, dan telah disebarkan secara meluas di sub-Sahara Afrika sejak tahun 1990-an untuk merawat Onkoserkiasis atau buta sungai disebabkan oleh jangkitan cacing parasit.

Ia biasanya didaftarkan untuk penggunaan veterinar di Afrika Selatan tetapi tidak dilarang untuk manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 12:00 PM