GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

New York: Gabenor dan pegawai kesihatan awam di seluruh Amerika Syarikat (AS) menggesa rakyatnya lebih berwaspada dan mengubah sikap untuk menempuh musim sejuk yang panjang ketika negara itu memecah rekod harian kes Covid-19.

Pada Jumaat lalu negara berkenaan mencatatkan lebih 181,100 kes baharu dan semalam sekurang-kurangnya 121,000 kes baharu dicatatkan.

Purata tujuh hari kes harian baharu menunjukkan lebih 140,000 kes dengan peningkatan di 49 negeri dan sebanyak 30 negeri mempunyai pertambahan kes minggu ini.

Gabenor New York, Andrew Cuomo dalam hantaran di Twitter menyatakan, satu dari setiap 378 orang Amerika positif Covid-19 sejak minggu lalu, justeru menggesa pemakaian pelitup muka.

Kiraan Cuomo menunjukkan dalam populasi 330 juta orang, 894,819 orang atau satu dari 378, diuji positif sejak Sabtu lalu

Virus itu sudah membunuh lebih 1,000 orang Amerika dalam sehari minggu ini, angka yang mengejutkan negara itu.

Wyoming melaporkan 17 kematian baharu semalam, Oklahoma (23), Montana (36) dan South Dakota (53), manakala New Jersey, Virginia Barat, Maryland, Minnesota, Indiana, Utah, Montana dan Alaska semuanya mencatatkan rekod baharu dalam tempoh sehari.

North Dakota juga mencatat rekod harian dengan mengumumkan 2,270 kes baharu.

Gabenor negeri itu, Doug Burgum mengumumkan beberapa langkah pada Jumaat lalu termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka, had makan 50 peratus atau 150 orang di dalam restoran dan penangguhan sukan musim sejuk sekolah menengah dan aktiviti kurikulum tambahan sehingga 14 Disember ini.

Negeri itu juga dilaporkan mengalami kekurangan kakitangan hospital dan kadar kes baharu dan kematian tertinggi bagi setiap orang di negeri berkenaan.

Pakar penyakit berjangkit terkemuka negara itu, Dr Anthony Fauci, yang muncul di siaran CBS mengulangi permintaannya kepada rakyat Amerika untuk serius menangani virus itu.

"Sekiranya kita melakukan langkah kesihatan awam yang mudah, kenaikan itu akan mula turun.

"Anda menambahkannya dengan bantuan vaksin, kami dapat membalikkannya. Ini tidak sia-sia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 8:10 PM