Lampu ajaib yang didakwa dibeli dengan harga kira-kira RM1.4 juta. Foto Agensi
Lampu ajaib yang didakwa dibeli dengan harga kira-kira RM1.4 juta. Foto Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang doktor lelaki dari bandar Meerut dekat sini, kerugian 335,000 dolar Amerika Syarikat (USD) kira-kira RM1.4 juta selepas ditipu dua lelaki yang menjual lampu ajaib kononnya mampu menunaikan apa juga dihajati dalam sekelip mata.

Oddity Central melaporkan kedua-dua suspek itu sudah ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Mangsa, Dr Laeek Khan yang juga pakar perubatan berkenalan dengan kedua-dua suspek pada 2018 ketika ke rumah seorang pesakitnya, Sameena untuk membalut luka selepas menjalani pembedahan.

Ketika itu, seorang daripada suspek, Islamuddin mengumpan Dr Laeek dan meyakinkannya supaya membeli lampu ajaib yang kononnya boleh menjadikan mangsa jutawan.

Selepas membuat beberapa kali pembayaran, mangsa meminta untuk membawa pulang lampu ajaib dibelinya itu.

Namun, kedua-dua suspek cuba berhelah dan menakutkan mangsa dengan mengatakan sesuatu yang buruk akan berlaku jika berbuat demikian.

Menyedari dirinya ditipu, Dr Laeek akhirnya membuat laporan polis hingga tertangkapnya kedua-dua suspek terbabit.

Bagaimanapun, polis masih memburu Sameena iaitu isteri kepada Islamuddin kerana disyaki bersubahat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 2:24 PM