GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Sydney: Suami isteri rakyat Malaysia masing-masing didenda 1,200 dolar Australia (RM3,600) kerana melanggar sekatan pergerakan Covid-19 apabila cuba memasuki New South Wales (NSW) dari Victoria.

Mohammad Hashim, 28, dan isterinya, Fadline Rasani, 26, ditahan penghujung Ogos lalu selepas polis menerima maklumat wanita itu bersalin di sebuah hospital di Coffs Harbour di NSW.

Pasangan itu mengaku bersalah atas tuduhan gagal mematuhi peraturan ketika Covid-19.

Majistret Ian Rodgers berkata, kes berkenaan menunjukkan situasi sukar dialami pasangan itu ketika berhadapan dengan pandemik.

"(Ini) menunjukkan mereka terdesak kerana masalah kewangan yang dihadapi.

"Tetapi, mesej perlu disampaikan tentang melanggar peraturan Covid-19 (tiada toleransi)," katanya seperti dipetik dalam ABC News.

Mahkamah dimaklumkan, pasangan itu yang tiba di Australia pada Januari lalu menggunakan pas bekerja sementara sebelum diusir dari rumah sewa dan kehilangan pekerjaan di Victoria.

Dalam keadaan terdesak, pasangan itu menuju ke Coffs Harbour sebagai ikhtiar akhir mendapatkan pekerjaan sebagai pemetik beri biru.

Mereka dilaporkan menghantar wang ke Malaysia untuk dua anak mereka berusia dua dan lapan tahun yang dijaga keluarga mereka.

Pendakwa raya, Sarjan Heidi Warren berpendapat, kesalahan pasangan itu lebih serius daripada denda serta-merta 1,000 dolar Australia (RM3,021) kerana melanggar peraturan Covid-19 di NSW.

Katanya, pasangan itu menipu dalam permohonan pas sempadan mereka untuk mendapatkan pekerjaan di NSW.

"Ada satu rancangan untuk memasuki Coffs Harbour secara haram selepas rancangan mereka untuk bekerja di ladang di Tooleybuc, Riverina tidak berjaya.

"Perlu ada mesej (hukuman) menunjukkan mahkamah tidak bertolak ansur dengan kesalahan seperti ini," katanya.

Dilaporkan, hukuman maksimum kerana gagal mematuhi peraturan Covid-19 itu adalah penjara enam bulan atau denda 11,000 Dolar Australia (RM33,233).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 3:45 PM