ORANG ramai memakai pelitup muka ketika berjalan di Marina Bay, Singapura. FOTO AFP.
ORANG ramai memakai pelitup muka ketika berjalan di Marina Bay, Singapura. FOTO AFP.
Agensi

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menyiasat sama ada peraturan penjarakan sosial tidak dipatuhi, selepas pihaknya mengesan satu kluster keluarga membabitkan lima individu dari dua isi rumah yang menyertai satu perjumpaan.

Lima daripada lapan kes baharu dalam komuniti dilaporkan Ahad lalu ada kaitan dengan kes remaja berusia 13 tahun disahkan positif Covid-19, yang dilaporkan Khamis lalu.

Dua kes yang dilaporkan Jumaat lalu juga ada kaitan dengan remaja berkenaan.

Channel News Asia melaporkan, lima kes yang dilaporkan Ahad lalu adalah sebahagian daripada kluster keluarga membabitkan individu dari dua isi rumah berkenaan, kata MOH.

"Individu ini menyertai satu perjumpaan keluarga, dan siasatan sedang dijalankan untuk meneliti sama ada mereka ingkar peraturan penjarakan sosial.

"Kami memandang serius mereka yang ingkar peraturan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu," katanya.

Empat kanak-kanak dan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun, semuanya warga Singapura adalah sebahagian daripada kes dalam kluster berkenaan.

Remaja berusia 13 tahun, yang mula menunjukkan gejala pada 20 Ogos dilaporkan sebagai kes Covid-19 yang tidak berkaitan, dan MOH mengatakan siasatan epidemiologi sedang dijalankan, manakala semua kontak rapat yang dikenal pasti sudah diasing dan dikuarantin.

Pada Jumaat, dua kes positif Covid-19 iaitu lelaki dan wanita masing-masing berusia 50 serta 51 tahun adalah kontak rapat remaja 13 tahun berkenaan.

Mereka antara yang dikuarantin awal dan disahkan positif Covid-19, malah kedua-duanya turut menunjukkan gejala.

Pada Ahad, lima lagi kes disahkan MOH, ketika mereka sedang menjalani kuarantin, dan semuanya ada kaitan dengan remaja terbabit, kata kementerian itu.

Mereka termasuk dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun masing-masing, sementara tiga lagi adalah kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun serta remaja perempuan masing-masing berusia 14 dan 17 tahun.

Hanya kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun tiada gejala.

Di bawah langkah-langkah keselamatan Covid-19, hanya perjumpaan dalam kumpulan kecil sehingga lima individu dibenarkan, tanpa ada percampuran antara kumpulan itu.

Di dalam rumah pula, penghuni hanya boleh menerima sehingga lima tetamu pada satu-satu masa.

Awal bulan ini, isi rumah lebih daripada lima individu yang ingin makan di luar perlu menempah lebih satu meja untuk menampung semua orang.

Mereka juga perlu mengawal interaksi antara meja mereka, kata MOH.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 2:53 PM