SANDWIC termahal di dunia, “The Golden Goose”. FOTO Agensi
SANDWIC termahal di dunia, “The Golden Goose”. FOTO Agensi
Agensi

WASHINGTON: Kebiasaannya sandwic bersalut mentega kacang dan jeli adalah pilihan hidangan yang menjimatkan wang.

Tetapi tidak bagi sandwic yang ditawarkan sebuah restoran di Chicago ini yang mungkin dikategori paling mahal di dunia apabila berharga AS$350 (kira-kira RM1,500).

Pemilik restoran, PB&J muncul dengan idea sandwic termahal di dunia itu selepas melihat sebuah restoran menyajikan sandwic dengan ditusuk pencungkil gigi disadur emas 24 karat pada kepingan roti.

Kemudian mereka memutuskan mampu menghasilkan hidangan digelar The Golden Goose, iaitu emas disadur pada roti.

The Golden Goose dibuat daripada kepingan roti kemudian disadur emas urai (gold dust) bersama tepung dengan topping keemasan.

Sekeping roti diapit bersama jem yang paling mahal di dunia, iaitu kismis merah dan putih yang sukar diperoleh.

The Golden Goose ditaburkan dengan salah satu jenis madu yang amat sukar diperoleh iaitu madu manuka.

Madu manuka hanya dihasilkan daripada bunga pokok manuka yang terdapat di New Zealand.

Bagaimanapun, pada akhirnya, resipi ini turut menggunakan bahan termurah iaitu mentega kacang Adams All-Natural.

Pemilik restoran itu, Matthew dan Josh McCahill bagaimanapun tidak mendedahkan berapa kos penghasilan sandwic berkenaan.

Bagaimanapun, berdasarkan harga pasaran semasa, satu balang 100 gram jem Maison Dutriez berharga 20 euro (RM99), 250 gram madu manuka yang diimport dari New Zealand berharga 371 euro (RM1,840) dan sebotol mentega kacang dijual pada harga lima euro (RM24).

Pelanggan yang ingin menikmati The Golden Goose perlu menghubungi PB&J terlebih dulu kerana sandwic termahal itu perlu ditempah sekurang-kurangnya sehari lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 6:30 AM