GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) pada Ahad meluluskan kebenaran segera kepada doktor untuk menggunakan plasma darah individu pulih daripada Covid-19 bagi merawat pesakit virus berkenaan.

Langkah itu diambil oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) ketika Presiden Donald Trump berdepan tekanan untuk mengekang penularan pandemik itu di negara berkenaan.

Plasma berkenaan dipercayai mengandungi antibodi yang berkesan untuk melawan virus itu dengan lebih cepat dan mengelak individu sudah dijangkiti daripada mendapat masalah kesihatan yang lebih serius.

"Ia mungkin berkesan untuk merawat Covid-19 dan manfaatnya mengatasi risiko penggunakan bahan berkenaan," kata FDA dalam satu kenyataan.

Kaedah itu sudah diguna pakai untuk pesakit di AS dan banyak negara lain.

Namun keberkesanannya masih diperdebatkan oleh pakar dan ada pihak memberi amaran bahawa ia mungkin mempunyai kesan sampingan.

"Plasma mungkin berkesan tetapi ia perlu dibuktikan menerusi ujian klinikal. Ia juga bukan untuk rawatan bagi menyelamatkan individu yang sudah sakit teruk," kata Len Horovitz, pakar pulmonari di Hospital Lenox Hill di New York City.

Dia berkata, plasma lebih berkesan terhadap individu yang baru saja terdedah kepada jangkitan iaitu apabila badan cuba melenyapkan virus itu.

Bagaimanapun, apa yang menjadi masalah adalah sumber plasma itu adalah terhad dan ini bermakna sukar untuk merawat semua individu ketika mereka berada pada peringkat awal jangkitan.

Akhbar Washington Post berkata, lebih 70,000 pesakit Covid-19 di AS sudah menerima pemindahan plasma

Trump dikritik hebat berhubung cara mengendalikan pandemik berkenaan di AS sehingga negara itu menjadi paling terjejas mengikut jumlah kes jangkitan dan kematian.

Beliau kini berdepan cabaran hebat daripada calon presiden dari Parti Demokrat Joe Biden pada Pemilihan Presiden pada 3 November ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 9:47 AM