Gunung Sinabung. FOTO GOOGLE MAPS
Gunung Sinabung. FOTO GOOGLE MAPS
Agensi

Jakarta: Amaran penerbangan dikeluarkan susulan gunung berapi Sinabung di Utara Sumatera meletus hari ini, demikian menurut Agensi Gunung Berapi Kebangsaan.

Gunung berapi setinggi 2,475 meter yang terletak di daerah Karo itu mengeluarkan debu sehingga mencapai ketinggian dua kilometer (km).

Agensi itu memaklumkan, debu berkenaan menuju ke bahagian timur kawah gunung berapi.

Pesawat dilarang terbang di ruang udara di atas kawasan awan panas itu selepas notis pemantauan gunung berapi bagi penerbangan dengan tahap jingga dikeluarkan sejak semalam.

Gunung berapi berkenaan berpotensi untuk terus meletus, dengan mengeluarkan awan panas.

Hujan debu gunung berapi yang lebat mengundang bahaya kepada kawasan di cerun gunung dan bahan dari gunung mungkin akan tersebar jauh oleh angin di kawasan luar cerun.

Bagaimanapun, masih belum ada bahaya yang berpotensi tinggi di sekitar gunung berapi, yang mana tahap amaran berada pada tahap kedua tertinggi.

Kompas melaporkan, letusan yang berlaku berlangsung selama 1 jam 44 minit.

Kali terakhir gunung berapi itu meletus adalah pada Jun 2019 di mana ia mengeluarkan debu setinggi tujuh km.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 7:52 PM