FOTO menunjukkan notis peringatan supaya orang ramai memakai pelitup muka di sebuah kedai buku dan mutimedia di Paris. FOTO AFP
FOTO menunjukkan notis peringatan supaya orang ramai memakai pelitup muka di sebuah kedai buku dan mutimedia di Paris. FOTO AFP
Agensi

PARIS: Kerajaan Perancis mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam berkuat kuasa semalam dalam usaha membendung penularan Covid-19.

BBC melaporkan, sebelum ini, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan ketika di dalam pengangkutan awam saja.

Kini, semua individu yang berusia lebih 10 tahun diwajibkan memakainya.

Ia terutama ketika berkunjung ke restoran dan hotel; kedai; pasar tertutup; muzium; pawagam: dewan konsert; rumah ibadat; lapangan terbang; perpustakaan; pusat percutian: bangunan pentadbiran dan bank.

Mereka yang ingkar dengan arahan itu akan dikenakan denda sebanyak 135 euro ( kira-kira RM659).

"Ia berikutan terdapat tanda membimbangkan dan kemungkinan wabak kembali menular di tempat tertentu di negeri ini," kata Menteri Kesihatan, Olivier Veran kepada radio 'France Info' hari ini, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut Olivier, sejak perintah berkurung dihentikan pada 11 Mei lalu, pihak berkuasa kesihatan mengesan antara 400 hingga 500 kluster aktif Covid-19 yang berpunca daripada perjumpaan keluarga ketika musim musim panas.

"Kami mendapati penularan virus secara dinamik yang membimbangkan dan wajar diambil berat warga Perancis. Mereka adalah kunci dalam memerangi virus.

"Kita perlu terus berwaspada, bersiap sedia kerana semua senario tidak hanya dikaji, tetapi perlu diselesaikan," katanya.

Sehingga Jumaat lalu, Perancis merekodkan 174,674 kes dengan 30,152 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 4:46 PM