GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Muscat: Seramai 70 wanita hamil di Oman dijangkiti Covid-19, setakat ini.

Daripada jumlah itu, sembilan daripadanya dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU).

Gulf News yang memetik laporan media tempatan melaporkan tiga kes membabitkan ibu yang terpaksa melahirkan bayi mereka lebih awal.

Bagaimanapun, semua kes jangkitan itu tidak menyebabkan kematian.

Pengarah Ginekologi dan Obstetrik di Hospital Diraja di sini, Dr Moza Abdullah Al Suliamani berkata, tiada bukti wanita hamil yang positif Covid-19 akan mendapat masalah kesihatan lebih teruk berbanding pesakit lain yang dijangkiti virus sama.

Bagaimanapun katanya, disebabkan perubahan sistem imunisasi dan badan, wanita terbabit mungkin akan mengalami jangkitan pernafasan.

"Jadi, amat penting untuk mereka mengambil langkah pencegahan bagi melindungi diri dan bayi. "Selain itu, mereka perlu melaporkan jika mengalami simptom seperti demam, batuk atau sukar bernafas," katanya.

Beliau juga mengesahkan bahawa kebanyakan daripada wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 itu menunjukkan gejala ringan.

Katanya, mereka dijangkiti sama ada daripada suami atau ahli keluarga.

"Tetapi masalah kesihatan ini boleh memberi kesan kepada ibu atau bayi mereka," katanya.

Dr Moza juga berkata, pihaknya berdepan masalah memandangkan kebanyakan daripada wanita berkenaan tidak mendedahkan bahawa ada ahli keluarga mereka positif Covid-19.

Katanya, ibu berkenaan hanya akan memberitahu perkara itu selepas dimasukkan ke hospital.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa ibu hamil diutamakan untuk ujian saringan virus berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada bukti menunjukkan mereka boleh menyebarkan virus itu kepada bayi dalam kandungan atau ketika kelahiran.

Covid-19 juga tidak ditemui pada susu ibu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 1:04 PM