DONALD Trump mempertimbang untuk sekat aplikasi TikTok. FOTO AFP
DONALD Trump mempertimbang untuk sekat aplikasi TikTok. FOTO AFP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempertimbang untuk menyekat aplikasi TikTok sebagai 'hukuman' kepada China yang menyebabkan pandemik Covid-19.

TikTok kini tersepit dalam pertikaian antara AS dan China di mana TikTok dituduh sebagai alat risikan untuk Beijing.

Ia kemudian menafikan tuduhan itu.

"Ia adalah sesuatu yang kami akan lihat. Ia adalah perniagaan yang besar. Lihat apa yang berlaku di China akibat virus ini, apa yang mereka sudah lakukan kepada negara ini dan seluruh dunia adalah memalukan," katanya dalam satu temu bual dengan Bloomberg News mengenai kemungkinan sekatan terhadap TikTok.

Bagaimanapun, Trump tidak menyatakan sebarang maklumat terperinci dan memaklumkan bahawa sekatan itu adalah satu daripada beberapa pilihan yang disenaraikan terhadap China.

AS adalah negara yang paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 di mana Trump menyalahkan pengurusan lemah dan tiada ketelusan dari kerajaan China.

"Kenyataan yang diberikan ahli politik di AS adalah tidak berasas dan hanya bersifat tuduhan," kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian ketika ditanya mengenai komen Trump terhadap TikTok dan peranan China dalam menangani Covid-19.

"Kerajaan China selalu mengingatkan perniagaan China yang beroperasi di luar negara agar mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.

TikTok dianggarkan mempunyai hampir satu bilion pengguna di seluruh dunia.

Walaupun popular di kalangan pengguna, namun TikTok berdepan tuduhan sebagai alat risikan Beijing kerana ia dimiliki firma China, ByteDance.

Firma berkenaan berkali-kali menegaskan ia tidak berkongsi maklumat pengguna dengan kerajaan China.

"TikTok diketuai ketua pegawai eksekutif dari AS dengan ratusan kakitangan mengendalikan aspek keselamatan, produk dan polisi di AS," kata jurucakap TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 7:45 PM