KAKITANGAN perubatan melakukan ujian saringan di parkir sebuah pasar raya di Melbourne pada 23 Jun. FOTO AFP
KAKITANGAN perubatan melakukan ujian saringan di parkir sebuah pasar raya di Melbourne pada 23 Jun. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Angkatan Tentera Australia pada Khamis mengumumkan 1,000 anggotanya akan dihantar ke Melbourne untuk membantu mengekang gelombang kedua Covid-19.

Kes Covid-19 naik mendadak di Victoria dengan merekodkan 150 kes jangkitan baharu minggu lalu dengan wujudnya kluster di Melbourne.

Angka masih kekal kecil berbanding negara lain, walaupun Australia sebelum ini sudah menarik balik sekatan selepas berjaya mengekang penularan.

Menteri Pertahanan, Linda Reynolds berkata, 1,000 anggota tentera akan dihantar ke Victoria pada hari berikutnya.

Katanya, seramai 850 anggota pertahanan Australia membantu mengawasi kepulangan rakyat dari luar negara yang akan dikuarantin di hotel, manakala 200 lagi akan membantu kerja logistik dan sokongan perubatan di fasiliti Covid-19.

"Anggota tentera juga sudah bersedia di sempadan negara yang ditutup kepada orang luar selain akan membantu perkhidmatan pengurusan kecemasan termasuk di Victoria," katanya.

Australia merekodkan 7,500 kes dengan 103 kematian dalam populasi 25 juta rakyat dengan sesetengah negeri masih bebas wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 10:55 AM