KAKITANGAN perubatan melakukan ujian swab di Islamabad. Pakistan merekodkan lebih 100,000 kes jangkitan Covid-19 setakat semalam. FOTO AFP
KAKITANGAN perubatan melakukan ujian swab di Islamabad. Pakistan merekodkan lebih 100,000 kes jangkitan Covid-19 setakat semalam. FOTO AFP
AFP

ISLAMABAD: Pakistan merekodkan lebih 100,000 kes jangkitan Covid-19 dan hospital di negara berkenaan kini berdepan masalah kekurangan katil untuk menempatkan pesakit.

Pakistan serta negara jiran India dan Afghanistan ketinggalan berbanding negara barat dalam jumlah keseluruhan mangsa Covid-19 di mana pakar memberi amaran bahawa kekurangan ujian dan ketepatan laporan khususnya di kawasan kampung menyebabkan angkanya mungkin berbeza.

Dalam beberapa minggu ini, negara dengan kepadatan 210 juta penduduk itu mencatatkan peningkatan mendadak dalam kes jangkitan baharu.

Semalam, kerajaan mengumumkan lebih 100,000 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan dengan 2,000 kematian.

Minggu lalu, satu laporan kerajaan yang bocor mendedahkan bahawa hampir 700,000 kes jangkitan dilaporkan berlaku di Lahore saja.

Malah, beberapa doktor di hospital utama mengadu kekurangan katil, ventilator dan peralatan perubatan penting lain.

"Dengan jumlah kes yang terus meningkat, ramai juga kakitangan perubatan yang menjadi mangsa virus ini," kata Farooq Sahil, doktor di Services Hospital Lahore.

Di selatan Karachi, pusat kesihatan mula menolak pesakit dengan meletakkan papan tanda di pintu masuk menyatakan mereka tiada bilik untuk merawat pesakit Covid-19.

Ketua jawatankuasa Covid-19 nasional, Asad Umar berkata, pakej untuk meringankan beban hospital sedang disiapkan yang turut meliputi pembelian 1,000 katil baharu untuk bandar utama.

Polisi sekatan pergerakan di Pakistan masih lagi samar dengan Perdana Menteri, Imran Khan masih teragak-agak untuk melaksanakan sekatan sepenuhnya di seluruh negara bagi melindungi ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 6:01 AM