GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

MANILA: Filipina memperhebat kempen program perancang keluarga berikutan kebimbangan pertambahan mendadak penduduk ketika pandemik Covid-19.

Ketua Suruhanjaya Jabatan Populasi, Juan Antonio Perez berkata, pihaknya membuat kajian selepas melihat pertambahan kelahiran bayi selepas setiap kali bencana buruk melanda dunia.

"Kami melihat perbandingan ketika zaman ibu bapa atau nenek moyang kita, berlaku pertambahan signifikan kelahiran selepas kejadian buruk ini.

"Sebab itu, perancangan keluarga amat penting," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Bayer Philippines Inc yang menyokong program suruhanjaya itu.

Filipina memiliki 108.7 juta penduduk, populasi kedua tertinggi di Asia Tenggara.

Dianggarkan, hampir sepertiga daripada keluarga Filipina mengeluarkan bajet untuk membiayai kos kehamilan.

Tiga daripada 10 keluarga tidak merancang kehamilan.

Katanya, program berkenaan menyasarkan komuniti yang mengalami kemerosotan hidup kerana tidak merancang kehamilan.

"Hari ini, agak sukar untuk membuat temu janji doktor atau ke klinik.

"Namun, semasa pandemik ini, perkhidmatan kesihatan seperti perancang keluarga ini harus diteruskan," katanya seperti dipetik dalam portal Bloomberg.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 6:01 AM