WANITA dihukum menggantung plakad akujanji di leher selepas ditemui tidak memakai pelitup muka di Bengkulu. FOTO AFP
WANITA dihukum menggantung plakad akujanji di leher selepas ditemui tidak memakai pelitup muka di Bengkulu. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Indonesia menghukum mereka yang ingkar peraturan mengekang Covid-19 dengan membaca al-Quran, penjara di rumah berhantu dan membuat akujanji tidak mengulangi kesalahan mereka di media sosial.

Negara itu mula mengerah 340,000 anggota pasukan keselamatan ke 24 bandar sebagai memantau rakyatnya agar patuh peraturan terutama memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Polis di wilayah barat, Bengkulu menggunakan khidmat 40 anggota dalam setiap skuad pemantau yang mengesan pesalah dan memaksa mereka memakai plakad bertulis akujanji akan memakai pelitup muka dan patuh jarak sosial di masa akan datang.

Gambar pelaku dengan plakad itu kemudian dimuat naik di media sosial, 'dimalukan' demi kesedaran mereka, menurut wakil rasmi.

"Penduduk di Bengkulu masih tidak sedar pentingnya mematuhi arahan ini terutama pemakaian pelitup muka dan tidak boleh berhimpun besar-besaran," kata Ketua Agensi Ketenteraman Awam Bengkulu, Martinah.

Menurutnya, apa yang dilakukan pihak berkuasa demi keselamatan penduduk dan ahli keluarga mereka.

Di Acheh, mereka yang melanggar arahan kesihatan dipaksa membaca al-Quran, namun mengecualikan orang bukan Islam yang juga golongan minoriti di wilayah itu.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan Agusliayana Devita berkata, golongan itu akan diberi teguran sekiranya dilihat tidak memakai pelitup muka.

Jakarta pula mengumumkan hukuman baharu bulan ini yang menyaksikan penduduk akan diarah cuci kemudahan awam termasuk tandas sambil memakai jaket tertera label 'pengingkar peraturan'.

Sementara di Sragen, timur Indonesia, pesalah akan dipenjara di dalam rumah tinggal yang dipercayai berhantu oleh penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 4:26 PM