- Foto hiasan
- Foto hiasan
Agensi

Jakarta/Singapura: Indonesia terus mencatatkan peningkatan bagi kes Covid-19 dengan pertambahan 415 kes baharu hari ini, lapor Liputan6.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Achmad Yurianto berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah jangkitan di Indonesia mencecah 23,165 kes.

Katanya, wabak berkenaan turut meragut 27 lagi nyawa menjadikan jumlah kematian mencecah 1,418 kes.

Sementara itu, Singapura hari ini merekodkan pertambahan kes baharu Covid-19 sebanyak 383 kes, lapor portal Mediacorp.

Data terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu mencecah 32,343 kes setakat tengah hari ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan, sebahagian besar kes baharu itu disumbang dari pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja.

Kata kenyataan itu, satu kes membabitkan seorang rakyat Singapura atau penduduk tempatan.

"Jumlah kes yang dilaporkan hari ini lebih rendah kerana ujian yang dijalankan berkurangan.

"Ini adalah hari kedua berturut-turut jumlah ujian yang dijalankan adalah lebih rendah daripada biasa," kata MOH.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 5:45 PM