GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Singapura: Republik ini yang mengumumkan 1,094 kes dibenarkan keluar hospital semalam, melaporkan satu lagi kematian membabitkan seorang warga emas, menjadikan jumlah keseluruhan 22 kematian.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan kes kematian terkini membabitkan seorang lelaki Singapura berusia 67 tahun yang meninggal dunia pada Jumaat lalu di Hospital Besar Sengkang.

Warga emas itu yang juga kes 1,516 disahkan dijangkiti Covid-19 pada 7 April lalu dan mempunyai sejarah penyakit jantung iskemik, darah tinggi dan hiperlipidemia.

Singapura melaporkan dua kematian pertama akibat Covid-19 pada 21 Mac.

Semalam, republik itu mengesahkan 465 kes jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 27,356.

Kementerian Kesihatan memaklumkan bilangan kes yang lebih rendah semalam adalah disebabkan hanya sedikit ujian diproses kerana satu makmal ujian sedang mengkaji prosesnya berikutan masalah penentukuran alat untuk kit ujian dan memerlukan masa untuk meningkatkan kemampuan pengujiannya.

Daripada 465 kes itu, tiada kes import dilaporkan, lima kes adalah dalam kalangan komuniti, tiga kes membabitkan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama dan 457 pekerja asing di asrama.

Pada masa ini, terdapat 1,111 kes yang disahkan masih berada di hospital dan kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala 16 kes berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, menurut kenyataan itu.

Sebanyak 17,881 kes dengan gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi positif ujian Covid-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Republik itu juga mengenal pasti tiga lagi kluster baharu semalam, manakala kluster terbesar, S11 Dormitory @ Punggol merekodkan 2,569 kes yang disahkan setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 11:20 AM