GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Kathmandu: Seorang ibu yang baru melahirkan bayi menjadi korban pertama pandemik Covid-19 di Nepal, semalam.

Ketika ini terdapat 281 kes Covid-19 di negara berkenaan.

Wanita berusia 29 tahun itu dari daerah Sindhupalchowk yang terletak 90 kilometer dari pusat bandar Kathmandu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

"Ini adalah kes kematian pertama akibat Covid-19 di Nepal, kata timbalan jurucakap Kementerian Kesihatan Samir Kumar Adhikari dalam kenyataan.

Wanita itu melahirkan bayi di sebuah hospital di Kathmandu pada 6 Mei lalu dan pulang ke rumahnya, sehari selepas itu.

Dia dirawat di hospital tempatan selepas mengalami demam dan masalah pernafasan.

Bagaimanapun, dia dirujuk ke hospital lain selepas keadaannya semakin teruk.

Bayi dan keluarga wanita terbabit akan menjalani ujian untuk mengetahui sama ada dijangkiti atau sebaliknya, lapor media tempatan.

Nepal yang mempunyai populasi seramai 28 juta sudah melakukan lebih 100,000 ujian setakat ini.

Pakar memaklumkan kekurangan ujian yang dijalankan secara besar-besaran mungkin menyebabkan kematian lain tidak dapat dikenalpasti.

"Saya tidak fikir ini kematian pertama. Ada beberapa kematian yang dilihat mempunyai simptom sama, tetapi sebab kematian tidak jelas," kata epidemiologist Lhamo Sherpa.

"Perlu lakukan lebih banyak ujian dan pengesanan kontak... perlu lebih telus," katanya.

Januari lalu, Nepal menjadi negara Asia Selatan pertama yang melaporkan kes koronavirus.

Negara itu berada menguatkuasakan perintah berkurung sejak 24 Mac selepas kes kedua disahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 9:35 AM