OLGA bersama dua anaknya Alexander (kiri) dan mangsa ditikam (kanan). FOTO agensi.
OLGA bersama dua anaknya Alexander (kiri) dan mangsa ditikam (kanan). FOTO agensi.
Agensi

Moscow: Berang akibat kalah bermain permainan video seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Rusia hilang pertimbangan dengan merosakkan barangan rumahnya sebelum menikam mati adiknya.

Portal Mirror melaporkan Alexander mengamuk dan merosakkan perabot rumah dan telefon bimbitnya selepas kalah dalam pusingan permainan video.

Bimbang adiknya akan memberitahu kelakuannya kepada ibu mereka, dia membunuh kanak-kanak berusia tujuh tahun itu bagi menutup rahsianya.

Ibu mereka, Olga, 32, meninggalkan mereka yang ketika itu sedang tidur di rumah di Dudinka wilayah Krasnoyarsk Krai dan membawa bayi perempuan berusia enam bulan ke rumah datuk mereka.

Apabila Alexander bangun, dia mula bermain permainan video sebelum mengamuk akibat kalah.

Berdasarkan laporan, adik lelakinya terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi bising dan bersembunyi di dapur sebelum ditikam 15 kali oleh abangnya.

Ibunya yang baru pulang meragui kejadian diceritakan remaja itu sebelum menghubungi polis.

Ketika disoal siasat, remaja itu mengaku membunuh adiknya dan dia takut jika kawannya tidak mahu bercakap dengannya apabila dia kalah dengan mudah dalam pusingan berkenaan.

Kejadian itu memeranjatkan masyarakat setempat berikutan remaja itu digambarkan sebagai seorang pelajar terbaik di sekolahnya.

Remaja itu kini menjalani rawatan psikologi dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 6:00 AM