SEBAHAGIAN daripada doktor dan jururawat yang mogok lapar. FOTO AFP
SEBAHAGIAN daripada doktor dan jururawat yang mogok lapar. FOTO AFP
AFP

SEKUMPULAN doktor dan jururawat mengadakan mogok lapar sebagai protes kerana kerajaan Pakistan gagal menyediakan pakaian perlindungan bagi barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19.

Kakitangan kesihatan mengeluh selama berminggu-minggu kerana hospital di negara ini mengalami kekurangan alat keselamatan yang kronik, menyebabkan penangkapan lebih 50 doktor yang meminta lebih banyak bekalan di bandar Quetta awal bulan ini.

Mereka dibiarkan dalam keadaan tidak selamat dengan 150 kakitangan perubatan di seluruh negara disahkan positif Covid-19, menurut Persatuan Doktor Muda (YDA) di wilayah Punjab.

Beberapa doktor dan jururawat Pakistan turut meninggal dunia akibat virus berkenaan, termasuk seorang doktor berusia 26 tahun yang baru saja memulakan kerjayanya.

Namun, peserta tunjuk perasaan masih menjalankan tanggungjawab mereka merawat pesakit dan mengambil giliran menyertai demonstrasi yang diadakan di luar pejabat pihak berkuasa kesihatan di Lahore.

"Kami tidak akan berhenti sehingga kerajaan mendengar permintaan kami. Mereka (kerajaan) enggan penuhi apa yang kami perlukan," kata Doktor Salman Haseeb.

Haseeb yang menganjurkan protes itu berkata, dia tidak makan sejak 16 April lalu.

"Kami berada di bahagian hadapan dalam menghadapi virus ini. Jika kami tiada perlindungan, seluruh populasi turut berisiko," katanya.

Katanya, kira-kira 30 doktor dan jururawat menyertai mogok lapar itu dan hampir 200 kakitangan perubatan turut menyertai demonstrasi yang diadakan setiap hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 10:43 PM