AHN Cheol-soo. FOTO AFP
AHN Cheol-soo. FOTO AFP
AFP

Seoul: Ketika hospital di bandar Daegu, Korea Selatan penuh dengan pesakit Covid-19, antara yang menjadi sukarelawan membantu adalah bekas calon presiden dan hartawan, Ahn Cheol-soo.

Ahn, 58, dan isterinya seorang profesor perubatan tampil membantu apabila hospital kekurangan kakitangan untuk merawat pesakit Covid-19.

Beliau dilaporkan merawat hampir 90 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) setiap hari dan dilihat komited menjalankan tugas dengan memakai pakaian khas walaupun dibasahi peluh.

“Ada pesakit berusia 60 tahun memberitahu saya bahawa suaminya meninggal akibat Covid-19 sehari sebelum di sebuah hospital yang lain. Tetapi dia tidak dapat melihatnya buat kali terakhir kerana dikebumikan serta merta.

“Wanita itu tidak dapat menghadiri majlis pengkebumian suaminya kerana dia juga dijangkiti wabak itu. Saya kehilangan kata-kata untuk memujuknya,” katanya kepada AFP selepas selesai menjalani proses kuarantin selama 15 hari di Daegu.

Sementara itu Ahn memberikan kredit kepada ujian pantas dan bertindak segera oleh Seoul bagi mengurangkan impak virus itu.

Korea Selatan adalah antara negara pertama yang dilanda wabak Covid-19 selepas China.

Bagaimanapun dengan program ‘jejak, uji dan rawat’ termasuk penjarakan sosial, mereka berjaya mengawal wabak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 5:09 PM